Jika anda peminat novel kontemporari tempatan, nama penulis prolifik Ramlee Awang Murshid (RAM) tidak perlu diperkenalkan lagi. Penulis ini dikatakan penulis novel thriller nombor 1 di Malaysia. RAM dilahirkan di Papar, Sabah, pada 4 November 1967 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini, beliau bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur.
Saya secara umumnya meminati karya -karya beliau. Tetapi tidaklah mengkelaskan beliau sebagai penulis yang paling saya minati. Saya fikir, John Grisham, Michael Crichton dan Habiburrahman El Shirazy lebih teratas berbanding RAM. Begitu juga dengan Andrea Hirata dan Faisal Tehrani disamping penulis berstatus Sasterawan Negara seperti Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Umumnya, masing -masing mempunyai kecenderungan genre dan kelas tersendiri.
Karya -karya RAM mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Karyanya lebih segar, moden dan sofistikated. Identitinya sudah pasti unsur -unsur thriller dan plot cerita yang tidak terduga. Bagi saya, RAM berkeistimewaan menterjemahkan aksi -aksi thriller yang bermain di mindanya kepada bentuk teks. 'Seolah -olah pembaca menonton filem aksi dalam pembacaan novel'. Dan satu trademark kecil yang cuba dibentuk oleh RAM, beliau cuba mewujudkan jalinan watak -watak yang di antara novel -novel beliau. Sebagai contoh watak Hilman (dalam ADAM) dan Ursula (dalam Ranggau) membuat kemunculan cameo dalam novel Trilogi Tombiruo.
Namun begitu, walaupun saya menyatakan RAM berkeupayaan menyusun plot cerita yang tidak terduga dengan baik, jika kita telah banyak membaca karya -karya beliau, kita akan dapati ideanya berulang dan dikitar semula. Kuantiti dan kekerapan mengeluarkan karya baru turut menjadikan karyanya 'agak basi'.
Jika anda bukan pembaca novel yang tegar dan mencari pengalaman membaca yang baru, karya RAM adalah pilihan yang terbaik. Berikut adalah senarai karya RAM yang berada di pasaran dan sebahagiannya pernah saya baca:
Yang pernah saya baca:
- Tombiruo
- Semangat Hutan (sekuel 1 Tombiruo)
- Tombiruo Terakhir (sekuel 2 Tombiruo)
- Ungu Karmila
- Rahsia Perindu
- Hatiku Di Harajuku
- Bagaikan Puteri
- Cinta Sang Ratu (sekuel 1 Bagaikan Puteri)
- Hijab Sang Pencinta (sekuel 2 Bagaikan Puteri)
Secara umumnya, trilogi Bagaikan Puteri adalah yang terbaik. Kombinasi unsur -unsur Islami, perjuangan, cinta dengan latar belakang abad ke 15 dan ke 21. Trilogi Tombiruo juga tidak kurang hebatnya. Ungu Karmilla, Semangat Hutan dan Rahsia Perindu mempunyai premis yang hampir sama iaitu mengenai halusinasi. Hatiku Di Harajuku pula adalah karya paling sederhana dan kurang menyerlah walaupun latar belakang mengenai dunia Yakuza dan Samurai cuba mencipta kelainan.
Yang masih belum pernah saya baca:
- Igauan Maut
- Anugerah Pertama
- Pei Pan
- Ranggau
- Mandatori
- ADAM
- Satu Janji
- Mikhail
- 9 Nyawa (terbaru)
No comments:
Post a Comment