Saturday, March 20, 2010

Looking For Eric


Eric Cantona memang dikenali sebagai seorang yang gemar berfalsafah ketika mengeluarkan kenyataan media semasa aktif sebagai pemain. Samada ia dilihat sebagai sesuatu yang indah, mempunyai maksud tersirat mahupun sekadar bahan gurauan. Pembawaannya itu berterusan apabila beliau menerokai dunia barunya selepas bersara sebagai pemain bolasepak profesional (dan bolasepak pantai)

Looking For Eric mengisahkan Eric Bishop, seorang posman berusia 40an yang menghadapi pelbagai tekanan dalam kehidupannya. Dia telah berpisah dengan isterinya, terpaksa menjaga cucu perempuannya, mempunyai 2 orang anak tiri yang bermasalah, dan sering hilang fokus dalam kerjayanya. Dia juga seorang penyokong fanatik kelab bolasepak Manchester United, walaupun telah mengurangkan obsesinya semenjak pelbagai masalah itu menimpanya. Dia mencari jalan keluar dengan berimaginasi dan berkomunikasi dengan hero pujaannya, Eric Cantona. Daripada imaginasinya itu, pelbagai masalah dan tekanan hidupnya beransur selesai.

Tarikan utama filem ini sudah pastilah Eric Cantona. Beliau menampilkan persembahan sederhana, sekadar muncul sebagai diri sebenarnya. Namun, idea dan falsafah yang diterapkan pada skripnya cukup baik dan mendalam (walaupun ada beberapa bait ayatnya tidak difahami kerana diungkap dalam Bahasa Perancis). Perjalanan filem ini menekankan tema kekeluargaan, setiakawan dan bagaimana seseorang hero bolasepak itu mampu mempengaruhi peminatnya.

Pelat British dalam dialognya cukup menyegarkan bagi mereka yang sudah terbiasa dengan produk Hollywood. Filem ini turut mendapat perhatian di Cannes walaupun tidak memenangi sebarang anugerah. Keseluruhannya, filem yang cukup menarik untuk ditonton terutamanya jika anda peminat Eric Cantona. Rating saya 6.5/10

No comments:

Post a Comment