Thursday, June 10, 2010

Invictus



Kejohanan Piala Dunia akan bermula esok dan aku memang tidak sabar lagi untuk menikmati pertandingan sukan yang paling mendapat tumpuan ini. Mungkin tidak banyak persamaan dan hubungan antara Piala Dunia dengan filem aku ingin ceritakan di sini, tetapi inspirasinya tetap sama.


Invictus merupakan filem drama -biografi yang mengisahkan tokoh terulung Afrika Selatan, Nelson Mandela, dengan ketua pasukan ragbi Afrika Selatan /Springboks, Francois Pienaar, selepas proses pemansuhan dasar Aparteid dan ketika negara itu sedang bersiap untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia Ragbi 2005. Ia diinspirasikan daripada buku tulisan John Carlin yang bertajuk Playing the Enemy: Nelson Mandela and the Game That Changed a Nation.

Filem ini menggambarkan proses integrasi dan transformasi hubungan antara rakyat kulit hitam dan kulit putih selepas Mandela menjawat jawatan presiden pada tahun 1994. Mandela (juga dikenali dengan nama Madiba) berusaha untuk merapatkan hubungan antara kaum yang begitu tegang selepas pemansuhan Aparteid. Puak kulit putih yang berkuasa sepenuhnya sebelum pemerintahan Mandela, namun puak kulit hitam cuba bangkit dan membalas dendam setelah tampuk pemerintahan berubah. Mandela melihat kesatuan boleh dihasilkan melalui sokongan menyeluruh rakyat kepada skuad ragbi kebangsaan dalam mengharungi kempen Piala Dunia.

Apa kaitannya dengan kejohanan Piala Dunia (bolasepak)? Selepas 15 tahun peristiwa bersejarah itu, kita akan lihat bagaimanakah perkembangan integrasi antara kaum di Afrika Selatan. Dan adakah sejarah kejayaan skuad Springboks akan berulang lagi? Namun harus diingat bahawa skuad bolasepak mereka yang dikenali sebagai Bafana Bafana tidak sekuat skuad Springboks dan untuk muncul juara adalah sesuatu yang tidak realistik.

Filem ini berasaskan fakta sejarah dan mendekatkan kita dengan sejarah perhubungan kaum di Afrika Selatan. Elemen drama dan perpaduan yang disuntik turut mencantikkan filem ini. Rating 8/10.

Foto sebenar yang cukup bersejarah di mana Mandela menyampaikan Trofi Piala Dunia kepada Pienaar.

No comments:

Post a Comment