Tuesday, October 5, 2010

Filem Dalam Mihrab Cinta

'Dalam Mihrab Cinta' (DMC) merupakan novel tulisan Kang Abik, atau Habiburrahman El Shirazy. Beliau memang cukup dikenali melalui karya magisnya  iaitu Ayat Ayat Cinta (AAC) dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Ketika ini beliau sedang dalam proses pembikinan filem DMC, di mana beliau pertama kali menggalas tanggungjawab selaku pengarah. Ia masih di peringkat pengambaran dan dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

Sekilas ingatan saya mengenai jalan cerita DMC, agak kabur kerana saya membaca novelnya lewat masa yang lalu. Ia mengisahkan seorang pelajar pesantran yang telah dibuang pesantrannya akibat tuduhan mencuri yang palsu. Dia terpaksa menyelusuri kehidupan kota yang mencabar, dan akhirnya betul -betul terpaksa mencuri akibat desakan hidup. Kehidupannya mengalami transisi apabila diupah menjadi seorang guru mengaji untuk seorang anak hartawan.

DMC diterajui oleh Dude Harlino, Meyda Sefira dan Asmirandah. Mereka pernah muncul sebagai Ustaz Ilyas, Ayatul Husna dan Dr Vivi dalam Filem KCB sebelumnya.

Untuk filem AAC, Kang Abik hanya bertindak di belakang tabir. Dalam filem KCB pula, beliau hanya memegang peranan kecil selaku Ustaz Mujab tetapi peranannya itu terus berkembang dalam Sinetron KCB. Saya fikir beliau merupakan antara pelakon yang paling cemerlang di dalam sinetron itu. Bukan hanya kerana kualiti lakonannya, tetapi saya fikir kerana nasihat atau syarahan yang terkandung dalam skrip beliau cukup kesampaian dan meyakinkan. Mungkin kerana berbeza sedikit dengan pelakon yang lain, mereka hanya berlakon sebagai ustaz atau ustazah. Nasihat atau syarahan mereka hanya skrip semata -mata.

Ada yang bertanya kepada saya mengapa saya gemar dan memberi perhatian kepada filem Islamik sebegini. Jujurnya diakui kalau dinilai dari aspek seni dan kualiti, filem -filem sebegini bukanlah tanda aras sebuah filem yang berkualiti tinggi. Tahap lakonan para pelakonnya juga boleh dikategorikan sebagai sangat amatur. Tetapi ia merupakan satu anjakan baru dalam dunia filem. Filem yang bukan sahaja berperanan sebagai suatu bahan hiburan, tetapi dalam masa yang sama boleh mendidik dan tidak melanggari batasan syariat.

No comments:

Post a Comment