Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Inshah Mansor sebelum ini dikatakan mengeluarkan kenyataan Pelajar Cina boleh pulang ke China dan menyamakan gelang keagamaan kaum India seperti rantai anjing ketika perhimpunan sekolah itu.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyatakan kenyataan itu yang didakwa bersifat perkauman hanyalah salah faham dan perkara itu telah diselesaikan.
Rentetan perkara tersebut, seorang pemuda Cina yang dikenali sebagai Namewee (yang pernah mencetuskan kontroversi dengan klip video Negarakuku dan TNB suatu ketika dahulu) telah menghasilkan sebuah klip video yang cukup provokatif, penuh dengan kata -kata kesat dan bersifat perkauman.
Pada hemat saya, kedua -dua individu ini bersalah dan bersifat perkauman melampau (dengan anggapan Siti Inshah benar berkata demikian). Siti Inshah mungkin mengeluarkan kenyataannya dalam bentuk yang 'lebih sopan', tetapi harus diingat ia dikeluarkan dalam satu perhimpunan rasmi dan terbuka yang dihadiri oleh guru dan pelajarnya yang berbilang kaum. Kita juga perlu mengambil kira bahawa beliau adalah kakitangan kerajaan yang berkedudukan agak tinggi, yang seharusnya boleh bertindak lebih rasional dan berintegriti.
Manakala Namewee hanyalah belia terpinggir yang mungkin kurang matang lagi (berego tinggi dan bodoh sombong), serta dia melakukannya dalam dunia siber. Tapi ini bukanlah satu pembelaan, lirik lagu beliau jelas melampaui batasan.
Bak kata pepatah Inggeris, Two wrongs doesn't make a right. Pada hemat saya, kedua -duanya bersalah atas apa alasan sekalipun. Pihak berkuasa harus menjalankan penyiasatan yang adil dan menghukum keduanya dengan sewajarnya. Masyarakat akan menilai dan menghakimi sebarang tindakan yang bakal diambil.
No comments:
Post a Comment