Monday, December 27, 2010

Of Gods and Men [2010]

Of Gods and Men aka Des hommes et des dieux, sebuah filem Perancis yang mendapat rebiu positif daripada pengkritik dan pasaran. Dikatakan bakal mengungguli Oscar bagi kategori Filem Luar Terbaik.

Berdasarkan kisah benar, ia memaparkan sekumpulan pendakwah Kristian yang hidup harmoni bersama kelompok masyarakat Muslim di sebuah perkampungan di Algeria. Kedamaian perkampungan itu mula tergugat apabila kumpulan militan mula berkonfrontasi dengan kerajaan Algeria.

Diakui, ia merupakan sebuah filem yang jelas mempromosikan dakwah Kristianisasi. Namun ia memancarkan dengan jelas bahawa pendekatan 'dakwah' mereka begitu bijak dan efisyen. Pendakwah -pendakwah itu menjadikan gereja sebagai pusat komuniti, klinik dan tempat pergantungan masyarakat Muslim tersebut. Ketepatan fakta mungkin boleh diragui, tetapi itulah realitinya. Dakwah mereka begitu teratur dan perlu dicontohi.

Wednesday, December 22, 2010

Religulous [2008]

(Tajuk filem ini adalah terbitan perkataan Religion dan Ridiculous)

Religulous merupakan filem dokumentari yang bersifat humor, kritikal dan provokatif terhadap kehidupan beragama. Ia dihoskan oleh Bill Maher, seorang pelawak stand in dari Amerika. Beliau menjelajah ke serata pelusuk dan menemuramah beberapa orang pemimpin (politik dan agama), ahli akademik dan orang awam mengenai agama.

Beliau secara umumnya menolak idea semua agama (tetapi tidak mempersoalkan kewujudan Tuhan) dan mendakwa semua agama merupakan idea yang direkacipta oleh manusia itu sendiri. Antara agama yang disentuh secara khusus adalah Kristian, Islam, Nasrani dan Mormons. Antara tempat utama yang dilawati oleh beliau adalah Bandar Vatican, Baitul Muqaddis, Amsterdam dan London selain beberapa rumah ibadat.

Antara individu (serta topik yang dibahaskan) yang dipaparkan 'mewakili Islam' adalah
# Fatima Elatik, ahli politik Muslim-Belanda (mengenai pembunuhan Theo van Gogh, Islam dan keganasan)
# Aki Nawaz, penyanyi rap Muslim-Britain aka Propa-Gandhi (mengenai ancaman bunuh kepada Salman Rushdie)
# Dr. Muhammad Hourani, koordinator Center for Peace and Reconciliation at the Dome of the Rock (mengenai peristiwa Mikraj, Kaabah dan persengketaan Yahudi-Kristian-Islam)
# Pengunjung (tanpa nama) Habibi Ana, bar Muslim-gay di Amsterdam (mengenai Islam dan homoseksual)
# Mohamed Junas Gaffar, Imam Masjid Amsterdam (mengenai Islam dan keganasan)

Secara umumnya beliau agak licik mempersendakan beberapa aspek dalam agama terutamanya kesahihahan 'cerita -cerita ajaib' dan fakta dalam Bible, percanggahan dalil Al Quran dan perlaksanaan ajaran Islam, serta amalan kuno agama Nasrani. Beliau turut mempergunakan hujah dan fakta sains untuk menidakkan kehidupan beragama. Tetapi harus diingat yang ini adalah dokumentari beliau, justeru segala bingkisan klip dan topik temuramah ini dimanipulasi untuk memenangkan pendapat beliau.

Dokumentari ini memang bersifat provokatif, tetapi ia tetap merupakan suatu bahan rujukan yang amat menarik terutamanya untuk kita memahami pemikiran non-believer /infidel, disamping menambah rasa kesyukuran kerana kita telah ditempat dan dilahirkan dikalangan mereka telah tersedia berakidah Islam.

Monday, December 20, 2010

The Stoning Of Soraya M [2009]

Filem Amerika yang diadaptasikan daripada novel Perancis, La Femme Lapidee. Ia mengisahkan Soraya yang dihukum rejam sampai mati ekoran pertuduhan zina daripada suaminya, berlatar -belakangkan perkampungan kecil di Iran selepas kejatuhan Shah Iran dan berlandaskan kisah benar.

Ia mengupas ketidak -adilan hirarki masyarakat, kedudukan wanita, kelemahan sistem undang -undang Syariah di Iran. Di dalam masa yang sama, ia menggambarkan prejudis barat terhadap sistem perundangan Islam dan kedudukan wanita dalam masyarakat Islam. Mullah yang korup, ketua masyarakat yang lemah, dan masyarakat yang mudah menghukum digambarkan dalam filem ini. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana filem ini adalah produk Hollywood dan daripada produser yang menghasilkan 'Passion Of The Christ'.

Keseluruhannya plot filem ini agak lemah. Namun ia tetap sebuah filem yang menarik untuk ditontoni tetapi harus ditontoni dengan minda yang terbuka dan bersedia untuk tidak dipengaruhi.

Wednesday, December 15, 2010

Seminar Minisiri Dinar Emas

 
Untuk melestarikan usaha Dinar & Dirham di Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia bersama Al-Qafilah International Sdn Bhd akan menganjur Seminar Minisiri Dinar Emas bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai keperluan Dinar & Dirham dalam Muamalah umat Islam.
Pelancaran Kelab Penyokong Dinar dan jualan Dinar & Dirham akan turut memeriahkan lagi acara ini.

Tarikh: 22 Disember 2010 (Rabu)
Tempat: Bilik Perhentian, PWTC, Kuala Lumpur
Masa: 08:30 pagi - 05:30 petang.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini

Wednesday, December 8, 2010

TV Al Hijrah

TV Al-Hijrah selamat dilancarkan oleh PM malam tadi. TV yang diwujudkan hasil inisiatif JAKIM ini bakal memberi dimensi dan alternatif baru kepada dunia penyiaran dan hiburan di tanah air.

Ia telah memulakan siaran percubaannya bermula 02 November 2010. Saya telah cuba menontonnya beberapa kali dan mendapati kandungannya amat baik (untuk peringkat permulaan). Namun begitu, kualiti siarannya masih rendah dan saya fikir pengguna memerlukan peranti tambahan (booster) untuk mendapatkan kualiti siaran yang lebih baik. Diharapkan TV Al-Hijrah dapat meningkatkan kualiti siaran disamping menempatkannya dalam menu saluran Astro dengan secepat mungkin.

Semoga saluran ini akan mendapat kepercayaan segera penonton dan penaja (masalah utama dunia penyiaran Islam)

Sunday, December 5, 2010

Tere Bin Laden [2010]

Sebuah filem satira Bollywood yang berlatarbelakangkan Pakistan. Mengisahkan seorang wartawan penyiaran Muslim, Ali Hassan, yang bercita -cita besar untuk mengembangkan kariernya di AS. Namun cita -citanya terhalang dek kesilapannya semasa penerbangan ke New York disamping polisi imigresen AS pasca serangan 11 September.

Selepas beberapa tahun menunggu untuk mendapatkan visa perjalanan yang telah beberapa kali ditolak, Ali memutuskan untuk pergi ke AS dengan identiti palsu. Namun ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Terdesak, dia bertindak membuat rakaman Osama Bin Laden palsu untuk mendapatkan wang segera.

Keseluruhannya ia merupakan sebuah filem yang sederhana. Sedikit sindiran mengenai polisi perang AS walaupun ramai watak Muslim di dalamnya digambarkan sebagai obses terhadap AS. Filem Bollywood bukanlah sesuatu yang aku gemari, tetapi filem ini memberi sedikit perbezaan dan kelainan. 5/10.